JAWAPAN PADA PAKAIAN
Hidup ini mudah
usah kusut berpakaian prasangka
ketat mengusik iri
bersarang di poket peribadi
Pilihlah pakaian tenang
longgar menghulur akrab
potongan berilham syariat
patuh penampilan
ceria bermanfaat
tiada menghunus fitnah.
Ahmad Noh
Pontian, Johor.
02 Februari 2026
MENITI DESTINASI
Usia merangkak langkah
menggeledah perut dunia
hingga sarat menghamilkan kehidupan
Semalam sering dilupakan
antara dahanan ada ranting ranting sukar
pengorbanan telah menjadi hamba
sering terkapai meniti daki masa
tersandung setelah bergelut muslihat nafsu
Bayang-bayang tujuan
memilih untuk terlewat
hingga perjalanan lupa memikir
sama ada dunia atau akhirat.
Ahmad Noh
Bangi, Selangor.
01 Jun 2026
MELANGKAH TANPA KAKI
Melangkah tanpa kaki
cuma hidup yang degil mahu bangun
walau mimpi tinggal kotak kosong
dan harapan sering luka di tepi jalan
orang tanya
“tak penat ke kau berjuang?”
aku senyum koyak di hujung bibir
kerana letih itu hanya topeng
sedang jiwa masih mahu berlari
tanpa lutut tanpa tapak
jika esok pun gelap
aku tetap mara perlahan
terus melangkah
pada hati yang tak reti mengalah
dan cinta yang diam-diam memimpin
ke arah cahaya yang satu.
Ahmad Noh
Gambang, Pahang
05 Jun 2026
Nama diberi Ahmad bin Noh. Merupakan anak kelahiran sebuah desa di Kuantan, Pahang, Malaysia. Berlatar belakang pendidikan tinggi dalam dalam bidang Geografi dan Sains Politik. Kini bertugas sebagai seorang pensyarah akademik di Kolej Matrikulasi Pahang. Minat menulis dipupuk sejak dibangku sekolah. Mengamalkan prinsip ‘Berkongsi Rasa Mendidik Manusia’ dalam penulisan.
Editor : Ali Sodiqin